UMAMA MALAYSIA HQ
SELAMAT DATANG KE UMAMA MALAYSIA.. Dapatkan UMAMA Plus & UMAMA Premium Gold Sekarang!!! Hubungi/Whatsup 011-10823458 @ 011-22241448 Untuk HARGA PROMOSI..

Sunday, 17 July 2016



=====================
VAKSINASI VS SUSU IBU
=====================
.
Mutakhir ini terdapat pelbagai tanggapan tidak betul tentang vaksinasi. Bersempena dengan Minggu Imunisasi Kebangsaan 2016 yang dilancarkan pada 23 April yang lepas serta Day of Immunology (DoI) pada 29 April ini, saya terpanggil untuk menghuraikan dakwaan bahawa bayi tidak perlu menerima suntikan vaksin kerana susu ibu merupakan vaksin semula jadi bagi mengelak bayi terkena jangkitan kuman.
.
Sebelum mengulas dengan lebih mendalam, terlebih dahulu prinsip asas vaksin harus difahami. Terdapat tiga prinsip utama berkaitan vaksin yang dapat merangsang sistem pertahanan badan (sistem imun) menghasilkan antibodi.
.
i) Antibodi bersifat spesifik terhadap sejenis kuman (antigen) sahaja. Contohnya antibodi A spesifik terhadap antigen A. Sekiranya terdapat antigen B, antibodi A tidak dapat menghasilkan tindak balas. Antibodi yang spesifik terhadap sesuatu antigen tidak berguna untuk melawan jangkitan kuman jenis lain.
.
ii) Antibodi yang terhasil daripada pendedahan kepada antigen akan membina memori atau ingatan. Ini bermakna, jika badan dijangkiti kuman yang sama, sistem imun telah ada memori untuk melawan kuman tersebut.
.
iii) Bagi memastikan badan menghasilkan antibodi pada kadar optimum bagi melawan sesuatu penyakit, dos tambahan (booster) perlu diberikan.
Sekiranya sesuatu vaksin tidak memenuhi ketiga-tiga prinsip asas di atas, maka vaksin tersebut tidak berkesan dan tidak boleh dinamakan sebagai vaksin.
.
Secara umum, sistem pertahanan badan terbahagi kepada dua iaitu keimunan semulajadi (innate immunity) dan keimunan penyesuaian (adaptive immunity). Keimunan semulajadi merupakan tindak balas pertama dalam badan sekiranya badan diserang kuman. Tindak balas ini bersifat sementara dan tidak dapat bertahan lama. Sekiranya kuman masih lagi berada di dalam badan, keimunan penyesuaian akan mengambil alih tugas menyingkirkan kuman. Strategi tindak balas keimunan penyesuaian lebih tersusun, spesifik dan dapat menghasilkan memori. Keimunan penyesuaian diperolehi apabila badan kita dijangkiti kuman. Asasnya apabila badan dijangkiti secara aktif oleh kuman, badan akan bertindak balas. Tindakbalas ini terdiri dari tiga keadaan:
.
i) Badan akan timbul tanda-tanda jangkitan kuman dan komplikasi dari kuman tersebut. Jika keimunan semulajadi kita kuat, kita akan sembuh atau mengalami kecacatan.
.
iii) Badan tidak dapat melawan kevirulan sesuatu kuman boleh menyebabkan kematian. Itulah yang terjadi kepada kuman-kuman merbahaya seperti polio, difteria, pertusis, H. Influenza B dan lain-lain.
.
iii) Dalam masa sama badan akan menghasilkan memori terhadap sesuatu kuman tetapi tanpa simptom penyakit tersebut.
Hasil dari kajian berabad lamanya, vaksin dicipta bagi menggantikan kuman yang virulen (yang berbahaya). Di mana vaksin in di beri secara pasif ke dalam badan kita. Sebagaimana yang kita maklumi bahawa vaksin adalah sejenis cairan yang mengandungi kuman yang telah dimatikan virulennya, dilemahkan, diambil nukleas bagi pembentukan DNA rekombinan, kelonsong kuman atau toksoid.
.
Jika berlaku jangkitan kuman yang sama pada kali kedua, badan telah pun menyediakan perlindungan terhadap kuman tersebut dan badan kita menunjukkan sebarang simptom penyakit.
Selain penghasilan perlindungan (imuniti) melalui pendedahan kepada penyakit mahu pun melalui vaksinasi, badan juga boleh mendapat imuniti secara tidak langsung daripada ibu ketika dalam kandungan atau melalui susu ibu. Imuniti ini tidak spesifik kepada kuman-kuman tertentu. Ia adalah keimunan semulajadi (innate immunity). Imuniti secara tidak langsung ini tidak sama seperti imuniti yang dihasilkan oleh sistem imun badan sendiri apabila terdedah kepada penyakit atau menerima vaksinasi.
.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan penyusuan susu ibu kepada bayi secara eksklusif pada 6 bulan pertama selepas kelahiran serta diteruskan sehingga setahun atau dua tahun. Secara umum, susu ibu terdiri daripada komposisi nutrient dan cecair yang dapat menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan bayi secara sihat. Sejurus selepas kelahiran, susu ibu mengandungi kolostrum yang sedikit tetapi pada kepekatan yang tinggi. Kolostrum ini terdiri daripada secretory IgA, lactoferrin, lysozyme serta rendah laktosa, kerana fungsi utamanya ialah membekalkan perlindungan terhadap bayi berbanding sebagai nutrient [1]. Sebagai contoh, secretory IgA memainkan peranan penting dalam lapisan mukosa iaitu lapisan paling hadapan rongga serta organ dalam badan. Lapisan ini merupakan benteng awal pertahanan badan bagi menapis kuman asing daripada menjangkiti badan. Tetapi ia tidak kebal kepada kuman-kuman berbahaya.
.
Semasa dalam kandungan, bayi menerima antibodi daripada ibu manakala selepas kelahiran, beberapa komponen imun daripada ibu turut dipindahkan kepada bayi melalui susu ibu. Ibu yang telah mempunyai antibodi terhadap beberapa jenis penyakit akan digunasama antibodi tersebut kepada anaknya terutama jika si ibu telah mendapat suntikan vaksin semasa hayatnya. Akan tetapi, susu ibu sama sekali tidak dapat menjadi pengganti kepada vaksin yang sebenar. Ini kerana antibodi bersifat mudah luput-hayat (degradation). Dalam keadaan normal, separuh hayat (half-life) antibodi kumpulan IgG adalah antara 7 hingga 21 hari [2]. Selain itu, antibodi terhadap sesetengah penyakit seperti batuk kokol tidak boleh dipindahkan sepenuhnya daripada ibu kepada bayi melalui susu ibu. Antibodi dalam susu ibu juga bersifat sementara, tidak mampu merangsang memori dalam sistem pertahanan badan bayi serta tidak dapat melindungi bayi sepanjang hayatnya. Oleh itu, bayi tetap memerlukan vaksin bagi membentuk perlindungan sepenuhnya terhadap penyakit-penyakit berbahaya sehingga dewasa.
Merujuk kepada ketiga-tiga prinsip vaksin yang telah saya nyatakan awal tadi, maka susu ibu ternyata tidak boleh disamakan dengan vaksin. Ini tidak bermakna susu ibu tidak membantu bayi dalam membina ketahanan badan kepada penyakit-penyakit berjangkit berbahaya (Vaccine Preventable Diseases). Kajian telah menunjukkan bahawa bayi yang menerima vaksin Haemophilus influenzae type b (Hib) akan lebih terlindung daripada jangkitan radang selaput otak sekiranya dalam masa yang sama meminum susu ibu berbanding dengan bayi yang hanya meminum susu ibu sahaja [3].
Sebagai kesimpulan, kedua-dua imuniti yang terhasil daripada vaksinasi dan imuniti daripada susu ibu saling melengkapi antara satu sama lain bagi membentuk pertahanan badan bayi yang kukuh. Tanggapan bahawa susu ibu merupakan sejenis vaksin yang spesifik bagi melawan penyakit berjangkit berbahaya adalah karut!
.
.
Rujukan:

1. Olivia Ballard and Ardythe L. Morrow. Human Milk Composition: Nutrients and Bioactive Factors Pediatr Clin North Am. 2013 Feb; 60(1): 49–74. 
2. Drs A.J. Meulenbroek, Dr. W.P. Zeijlemaker. Human IgG Subclasses: Useful diagnostic markers for immunocompetence Published by Sanquin. ISBN 90-5267-011-0. 
3. Silfverdal SA, Bodin L, et al. Long term enhancement of the IgG2 antibody response to Haemophilus influenzae type b by breast-feeding. Pediatr Infect Dis J. 2002 Sep;21(9):816-21.
Dr. Maryam Azlan 
Pensyarah Imunologi 
Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM
25.4.2016
.
.
Note:

~Ibu HIV positif TIDAK DIGALAKKAN menyusukan bayi mereka (samada bayi itu HIV positif atau HIV negatif) dengan penyusuan susu ibu mereka sendiri. Polisi KKM, berikan ibu lactational suppression therapy & bekalkan susu formula. Tetapi WHO benarkan ibu HIV positif sedang dalam rawatan cART dengan viral suppression untuk memberikan penyusuan susu ibu sendiri.
~Sebelum era susu formula, bayi diberikan susu ibu sepenuhnya, tetapi sejarah tidak menafikan bahawa ramai kematian bayi pada masa itu kerana serangan penyakit berjangkit. Bermakna susu ibu bukan alternatif kepada vaksin dalam pencegahan penyakit berjangkit berbahaya itu.

No comments:

Post a Comment